Assalamualaikum dan selamat pagi..pagi ini saya tertarik untuk share tentang isu kenaikan harga barang & penarikan semula subsidi daripada kerajaan. kita seharusnya mengambil isu ini dari sudut positif. Hope korang dapat fikir lebih positif lepas baca artikel ini.
The Cuban Diet
Posted on December 20, 2013
Kisah kejayaan secara besar-besaran
Kita biasa mendengar trend positif atau
peningkatan kadar obesiti dari segi statistik di negara-negara maju dan
negara membangun. Namun pernahkah kita mendengar trend yang negatif berkaitan
obesiti sejak beberapa tahun ini? Atau lebih tepat transformasi penurunan berat
badan secara bear-besaran, melibatkan seluruh negara? Mungkin jumlah negara
yang terlibat adalah amat kecil, namun jangan anda terkejut jika saya sebutkan,
memang ada negara di dunia yang mempunyai trend negatif atau penurunan kadar
obesiti dari tahun ke tahun.
Untuk memahami apa yang saya perkatakan ini, ada
baiknya jika saya menyingkap sebuah kajian kes yang berlaku di Cuba, sebuah
negara diktator (single-party state) yang terletak di kepulauan Caribbean. Cuba
adalah satu-satunya negara di dunia (mungkin) yang menyaksikan purata setiap
rakyatnya mengalami penurunan berat badan sebanyak 5kg dalam tempoh 5 tahun.
Sebelum tahun 1990, atau lebih tepat sebelum
jatuhnya empayar Soviet Union, Cuba tidak terlepas menjadi salah sebuah negara
komunis yang membangun dari segi ekonomi. Berlandaskan prinsip sosialisma,
kebanyakkan hasil dapatan dan bisnes pada ketika itu adalah dimiliki kerajaan
namun kerajaan mereka sekali-kali tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat
mereka yang bekerja keras untuk meningkatkan hasil perolehan negara. Ini
membuatkan rakyat Cuba juga berkesempatan merasai ‘kemewahan’ hidup tetapi
bezanya kemewahan ini dikongsi sama rata. Malah sebelum tahun 1990, negara Cuba
juga tidak terlepas dari masalah obesiti, kencing manis dan kadar kematian yang
disebabkan oleh penyakit
tidak berjangkit (non-communicable disease).
Dr. Che Guevara dan Fidel Castro, 2 ikon terpenting dalam sejarah revolusi Cuba. |
Antara rakan dagangan terbesar Cuba ketika itu
adalah empayar Soviet Union, sekutu mereka sendiri di bahagian Timur. Moscow
juga membantu Cuba dari beberapa aspek seperti ‘melindungi’ pasaran yang
melibatkan eksport dari Cuba.
Walaubagaimanapun, selepas jatuhnya empayar Soviet
Union dalam tahun 1991 (circa), lanskap ekonomi dan struktur sosial di Cuba
berubah. Cuba sudah hilang sekutu terkuat, mereka hilang tempat bergantung!
Keadaan menjadi semakin sulit apabila pada tahun yang sama, ekonomi dunia
melalui krisis kelembapan yang teruk (krisis perbankan di Sweden dan Finland,
krisis simpanan dan pinjaman di Amerika Syarikat, ‘price bubble’ aset di
Jepun).
Penarikan beberapa subsidi seperti subsidi bahan
api dan beberapa makanan asas membuatkan rakyat Cuba mengenal apa yang
dimaksudkan dengan ‘kesusahan’. Hal ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan Cuba
memandangkan bekalan makanan dan minyak di negara mereka tidak mencukupi untuk
menampung rakyat keseluruhan.
Makanan terpaksa dicatu (per keluarga) dan tidak
boleh dibazirkan sewenang-wenangnya. Traktor dan mesin-mesin di ladang tidak
dapat berfungsi kerana kekurangan bekalan bahan api, sekaligus memberi kesan
kepada kelembapan pengeluaran makanan. Jalan raya menjadi lengang dari
kenderaan memandangkan bekalan petrol sudah kehabisan di stesen-stesen minyak.
Sebagai alternatif, kerajaan Cuba mengeluarkan
lebih banyak basikal sebagai mode pengangkutan utama rakyatnya, tidak kira sama
ada digunakan untuk bergerak dalam bandar, atau antara bandar. Dilaporkan
bahawa kerajaan Cuba telah mengeluarkan sebanyak kira-kira 1 juta unit basikal dalam
tempoh yang singkat semata-mata untuk memastikan setiap seorang rakyatnya
memiliki sekurang-kurangnya 1 basikal.
Situasi ‘kesempitan hidup’ ini berlanjutan
sehinggalah pada tahun 1995. Dalam tempoh 5 tahun ini, rakyat Cuba mengambil kurang
kalori berbanding kalori yang mereka gunakan setiap hari, membuatkan
rakyat mereka secara purata mengalami penurunan berat badan sebanyak 5kg dalam
tempoh 5 tahun (purata defisit kalori sebanyak -50 kcal secara KONSISTEN
sehari).
Sudah menjadi lumrah manusia, pada awalnya mereka
mengeluh, namun tiada apa yang boleh dilakukan dan mereka akur, namun lama
kelamaan, mereka seakan-akan ‘terbiasa’ dengan apa yang mereka lalui, dengan ‘lifestyle‘
baru mereka yang terbit disebabkan oleh krisis ekonomi.
Hasil daripada perubahan gaya hidup ini juga,
rakyat mereka bukan sahaja mengalami penurunan berat badan, sebaliknya
statistik kencing manis dan kematian disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit
juga turun secara mendadak. Kisah kejayaan secara besar-besaran ini telah
berjaya dirakamkan oleh beberapa jurnal dan terbaru, sekumpulan penyelidik dari
Sepanyol, Amerika Syarikat dan Cuba, dalam British Medical Journal (awal tahun
ini).
Daripada kisah ini, beberapa kesimpulan dapat
dibuat:
1) Kita biasa mendengar trend obesiti dalam
satu-satu negara meningkat dari tahun ke tahun, selari dengan penarafan
keselesaan gaya hidup manusia yang banyak menghabiskan masa di hadapan
komputer, telefon pintar, facebook, disamping bercambahnya restoran-restoran
makanan segera dan banyak bergantung dengan ‘mesin’ untuk bergerak.
Namun apa yang dilalui oleh rakyat Cuba dari tahun
1990-1995 adalah songsang dengan pembolehubah ini, seterusnya menjurus kepada
keputusan yang songsang (reversal effect on obesity, the outcomes).
2) Dua faktor utama yang membantu dalam
‘eksperimen’ ini adalah pertama, krisis ekonomi, kedua, Cuba adalah
sebuah negara diktator yang membuatkan apa sahaja polisi yang dicadangkan
pemerintah mudah untuk dilaksanakan tanpa kekangan pihak ketiga – pembangkang.
3) Cabaran utama dalam menangani obesiti pada hari
ini adalah untuk mencipta satu formula, program atau sistem yang mampu mencegah
kecenderungan rakyat dalam memilih makanan yang tidak bagus dari segi komposisi
nutrien dan kurangnya aktiviti fizikal di kalangan rakyat.
4) Kesan daripada apa yang berlaku, sehingga ke
hari ini terdapat sebilangan rakyat Cuba yang masih mengamalkan apa yang mereka
lalui ketika tempoh kesusahan 5 tahun tersebut.
5) Namun dalam masa yang sama, kerajaan dan
penyelidik di sana terus berusaha mencari formula-formula baru agar “mimpi
ngeri” obesiti dan peningkatan kematian yang disebabkan oleh penyakit tidak
berjangkit tidak kembali bertapak (indikator terbaru menunjukkan ada
tanda-tanda pemulihan/peningkatan kembali berat badan selari dengan pemulihan
ekonomi – perkembangan yang agak bahaya jika tidak dicegah dari sekarang –
rujuk rujukan [1] di bawah).
Syabas Cuba!
Sumber:
1) “Is Obesity a Health Problem in Cuba?”
- Arturo Rodríguez-Ojea Menéndez and Santa Jiménez Acosta. Akses link
jurnal di sini.
2) “The nutrition transition in Cuba in the
nineties: an overview” - Arturo Rodríguez-Ojea et al. Akses link jurnal di sini.
3) “The Cuban Diet: eat less, exercise more” –
Jeremy Laurence. Akses link di sini.